Putera Mahkota Vajiralongkorn menganugerah Doktor Kehormat ke atas Naib Canselor UKM

Songkhla, Yala (Thailand). April 7.—Universiti Kebangsaan Malaysia berharap untuk bekerjasama dengan rakan-rakan akademik di Thailand, terutama di selatan Thailand dan Universiti Rajabhat Yala melalui jalinan pelbagai kepakaran, hasil kajian dan sumber-sumber lain dalam khidmat masyarakat.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah binti Syed Hasan Shahabudin, berkata hari ini bahawa kerjasama ini bukan saja bagi kemajuan sosial dan ekonomi tetapi juga bagi perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli kedua-dua negara.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah, yang berada di sini untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Pendidikan dari Yala Rajabhat Universiti esok menyatakan demikian dalam sidang akhbar bahawa penganugerahan itu bukan saja satu penghormatan kepadanya tetapi juga kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah diberikan mandat untuk mempromosi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengetahuan saintifik.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah berkata UKM berbesar hati untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman-pengalamannya dalam sesetengah bidang tertentu yang besar ertinya kepada Universiti Rajabhat. Beliau memberi contoh pembangunan modal insan, bermula dari muda lagi sebagai salah satu bidang berkenaan.

UKM terlibat dengan meluas dalam program Setiap Anak Permata Negara yang dipelopori isteri Perdana Menteri dalam memupuk nilai diri kanak-kanak dari kecil lagi untuk menjadi rakyat berguna dan pemimpin masa depan. Program ini menyediakan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak yang berkualiti sebagai permulaan baik dalam hidup kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah supaya mereka mendapat. Rancangan itu setakat ini telah mewujudkan beratus-ratus buah pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara, kata beliau.

UKM telah diberikan tanggungjawab memulakan satu perkhemahan untuk kanak-kanak yang cerdik dan berbakat (Permata Pintar) demi menyediakan peluang-peluang pendidikan di mana anak-anak berkenaan dicabar ke tahap potensi maksimum mereka. Program ini memperakui bahawa kanak-kanak cerdik ini memerlukan pembelajaran dan cara pendidikan khusus. Sebuah sekolah untuk kanak-kanak pintar cergas berusia lebih 16 tahun sedang dibina di kampus UKM dan akan mengambil kumpulan pertama 150 murid pada Januari 2011.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah berkata UKM juga sedang menjalankan satu lagi program kebangsaan untuk belia yang menghadapi risiko (Perkasa Remaja). Program ini terbit hasil daripada kajian UKM mengenai masalah sosial belia-belia termasuk pelajar tercicir, mereka yang melepak dan kalangan yang menunggang motosikal secara berbahaya (Mat Rempit). Program ini termasuklah satu projek kemasyarakatan di mana belia-belia dan keluarga mereka bekerja rapat dengan pelajar univerisiti untuk memupuk wawasan lebih baik dalam kehidupan dan memperolehi pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi rakyat yang produktif.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah berkata Institut Kajian Etnik UKM (KITA) juga memainkan peranan penting dalam memberi idea, kerangka konsep dan keperluan bagi memantau keharmonian dalam hubungan antara etnik sejajar konsep 1Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
UKM adalah sebuah daripada empat universiti penyelidikan dipilih oleh kerajaan yang terlibat dalam pelbagai kegiatan kajian sejak 40 tahun lalu. Ia kini sedang mengukuhkan perkhidmatan-perkhidmatan penyelidikan dan pendidikannya demi mencapai kecemerlangan sebagai penyumbang penting kepada kemajuan pengetahuan di peringkat nasional dan global.

Beliau berkata ia akan memberikan fokus kepada lapan bidang penumpuan pengkajian : Cabaran Membina Negara Bangsa, Pembangunan Lestari Wilayah, Teknologi Kesihatan dan Perubatan, Tenaga Keterbaharuan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi & Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi Dalam Pembangunan Bioteknologi dan Informatik Isian.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah berkata beliau berazam untuk membawa UKM ke tahap lebih tinggi dan akan bekerjasama dengan rakan-rakan beliau di peringkat antarabangsa dalam memajukan pengetahuan dan meraih faedah-faedah demi kemajuan masyarakat.

Konsep itu mengiktiraf perpaduan rakyat sambil menghargai kepelbagaian sebagai satu asset penting dalam mencapai matlamat bersama demi keamanan, harmoni dan pembangunan negara. Beliau mencadangkan ini sebagai satu lagi bidang berpotensi untuk kerjasama antara UKM dengan Universiti Rajabhat.

Satu lagi bidang kekuatan UKM adalah kewujudan banyak institusi kajian, fakulti dan pusat-pusat yang mempromosi pembangunan mapan. Beliau berkata UKM amat mementingkan penggabungan pelbagai displin dalam kajiannya demi pembangunan sosio-ekonomi masyarakat tempatan.

Langkawi Geo-Park adalah satu contoh bagaimana penyelidikan boleh memberi sumbangan kepada penganugerahan UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara, justeru membawa bersama-samanya daya tarikan sebagai destinasi ekopelancongan yang mapan. Tasik Cini, tasik kedua terbesar di daratan dikelilingi tanah paya juga dianugerahkan status Kawasan Simpanan Hispera-Bio UNESCO pada tahun 2009 dengan sumbangan kajian 15 tahun oleh UKM.

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah berkata kedua-dua universiti boleh saling mempelajari pelbagai perkara di antara satu sama lain dan berharap lebih banyak program pertukaran pelajar dan kakitangan dijalin demi merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan Thailand.

Beliau juga menekankan bahwa hubungan beliau dengan selatan Thailand bermula daripada sejak moyang sebelah ibu beliau yang berhijrah dari Maghribi untuk menetap di Satun/Setul di mana beliau mengahwini gadis tempatan Halimah. Mereka kemudian berpindah ke Kedah di mana susun galur keturunan keluarga ibunya bermula. Beliau bersyukur beliau kini mendapat peluang untuk memperbaharui hubungan itu melalui pertalian UKM dengan Universiti Rajabhat.

Sumber: sini

 
©2009 :: Laman Pendidikan :: | by TNB